Sewaktu membuka bidai pada suatu pagi pada musim sejuk, saya melihat suatu pemandangan yang mengejutkan. Dinding kabus. Peramal cuaca memanggilnya sebagai “kabus beku”. Fenomena ini jarang berlaku di lokasi kami. Kabus ini telah membawa suatu kejadian yang lebih mengejutkan: ramalan cuaca melaporkan akan munculnya langit biru dan sinaran matahari—“dalam satu jam kemudian”. “Tidak mungkin,” kata saya kepada suami saya. “Kita tidak dapat melihat sejauh 30 cm di hadapan pun.” Namun dalam masa kurang daripada sejam, kabus telah pudar serta langit bertukar menjadi cerah dan berwarna biru.
Sambil berdiri di hadapan tingkap, saya merenung tentang tahap kepercayaan saya apabila saya melihat kabus dalam kehidupan saya. Saya bertanya kepada suami saya, “Saya ‘ni percaya Tuhan sebab saya boleh nampak apa yang dapat dilihat sajakah?”
Setelah Raja Uzia meninggal dunia dan beberapa orang pemerintah yang tidak amanah telah berkuasa di Yehuda, Yesaya mengajukan soalan yang sama. Siapakah yang kita boleh percaya? Tuhan menjawab dengan memberi Yesaya satu penglihatan yang amat menakjubkan dan meyakinkannya untuk percaya kepada Tuhan. Yesaya berkata, “Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu” (YESAYA 26:3). Dia menambah, “Percayalah kepada TUHAN untuk selama-lamanya, kerana TUHAN ALLAH sajalah, batu pejal yang kekal” (AYAT 4).
Apabila fikiran kita tertuju kepada Tuhan, kita akan percaya kepada-Nya walaupun pada waktu kita menghadapi kabus kehidupan dan keadaan yang mengelirukan. Kita mungkin belum melihatnya dengan jelas sekarang, tetapi jika kita percaya kepada Tuhan, kita pasti yakin bahawa pertolongan-Nya akan tiba pada waktunya.