Saya teruja apabila menemui hadiah yang sempurna untuk hari jadi ibu mentua saya: gelang tangan yang mengandungi batu yang mewakili bulan lahirnya! Menemui hadiah yang sempurna untuk seseorang sentiasa membawa kegembiraan. Namun, bagaimana pula jika hadiah yang diperlukan oleh seseorang itu di luar kemampuan kita untuk memberi. Kebanyakan kita berharap bahawa kita boleh memberi seseorang ketenangan minda, keamanan, ataupun kesabaran. Alangkah baiknya jika semua ini boleh dibeli dan dibungkus sebagai sebuah hadiah!

Pemberian sebegini adalah mustahil bagi seseorang untuk memberikannya kepada yang lain. Namun Yesus, iaitu Tuhan yang wujud dalam tubuh jasmani manusia mengurniakan pemberian yang “mustahil” ini, iaitu damai sejahtera kepada semua orang yang percaya kepada-Nya. Sebelum Yesus naik ke syurga dan meninggalkan para pengikut-Nya, Dia memberi kata-kata hiburan kepada mereka dengan menjanjikan Roh Kudus. Kata-Nya, Roh Kudus akan “mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu” (YOHANES 14:26). Yesus telah menawarkan damai sejahtera-Nya kepada mereka, sebuah pemberian yang berkekalan dan berterusan ketika hati mereka gelisah atau ketika mengalami ketakutan. Yesus sendiri mendamaikan kita dan Tuhan, orang lain, dan kita sendiri.

Kita mungkin tidak mampu memberi kesabaran atau kesihatan kepada orang yang kita sayangi seperti yang diinginkan mereka. Kita juga tidak mampu memberi damai sejahtera yang setiap kita amat perlukan untuk menghadapi kesukaran dalam kehidupan. Tetapi kita memiliki Roh Kudus yang membimbing kita untuk berkongsi kepada mereka tentang Yesus, sumber damai sejahtera yang sejati dan abadi.