Pastor Jonathan Edward mengalami kesulitan untuk membaca tulisan pada kertas yang berisikan khutbahnya sehingga dia mendekatkan kertas-kertas tersebut ke mukanya. Dia betul-betul rabun dan harus membaca setiap frasa khutbahnya dengan teliti dalam nada suara yang tidak memberangsangkan. Tetapi Roh Tuhan telah bekerja melalui pastor ini pada abad ke-18 untuk menghidupkan api Kebangunan Rohani yang Pertama dan membawa beribu-ribu jiwa percaya kepada Kristus.

Tuhan sering menggunakan perkara yang tidak dijangka untuk melaksanakan tujuan-Nya yang sempurna. Ketika Paulus menulis tentang rancangan Tuhan untuk menyelamatkan manusia yang sesat melalui pengorbanan Yesus di kayu salib, Paulus menyimpulkan bahawa, “Sememangnya Allah memilih yang bodoh di dunia untuk memalukan yang bijak; Allah memilih yang lemah di dunia untuk memalukan yang kuat” (1 KORINTUS 1:27). Dunia ini cuma memahami hikmat Tuhan berdasarkan pemahaman sendiri, malah berfikir bahawa Tuhan akan muncul dengan kekuatan yang tidak dapat ditahan. Sebaliknya, Yesus datang dengan kerendahan hati dan lemah lembut untuk menyelamatkan kita daripada dosa-dosa kita dan dengan itu, Dia telah menjadi “kebijaksanaan bagi kita, dan melalui Dia, Allah memperbenar, menyucikan, serta menebus kita” (1 KORINTUS 1:30).

Tuhan kita yang abadi dan maha bijaksana telah menjadi seorang bayi manusia yang membesar menjadi seorang dewasa, menderita serta mengorbankan diri-Nya, kemudian bangkit semula dan menunjukkan kita jalan untuk datang kepada-Nya dengan penuh kasih. Tuhan suka menggunakan cara yang tidak menonjol dan memakai orang yang rendah hati untuk melaksanakan perkara hebat yang tidak dapat kita capai dengan kekuatan kita sendiri. Malah jika kita rela, Tuhan juga akan memakai kita.