Kizombo duduk sambil melihat unggun api, dan merenungkan persoalan besar dalam kehidupannya. Apakah pencapaian aku? dia tertanya-tanya. Dengan cepat dia mendapat jawapannya: Sebenarnya tidak banyak. Kizombo telah pulang ke tempat kelahirannya dan berkhidmat di sebuah sekolah yang didirikan oleh bapanya yang terletak jauh di dalam hutan. Dia juga sedang cuba menulis kisah hebat bapanya yang menempuhi dua perang saudara. Siapakah aku untuk melakukan segala ini?

Kesangsian yang dialami oleh Kizombo adalah seperti yang dialami oleh Musa. Tuhan telah memberi misi kepada Musa: “Aku mengutus kamu kepada Firaun untuk membawa orang Israel, iaitu umat-Ku, keluar dari Mesir” (KELUARAN 3:10). Musa menjawab, “Siapakah hamba-Mu ini ?” (ayat 11).

Selepas Musa memberi beberapa alasan, Tuhan bertanya kepadanya, “Apakah yang ada di tanganmu itu?” Musa sedang memegang sebatang tongkat (KELUARAN 4:2). Atas perintah Tuhan, Musa melemparkan tongkat itu ke tanah. Tongkat tersebut pun bertukar menjadi seekor ular. Walaupun Musa takut, dia memegang ular tersebut. Sekali lagi ular itu bertukar semula menjadi sebatang tongkat (ayat 4). Dengan kuasa Tuhan, Musa mampu berhadapan dengan Firaun. Musa benar-benar mempunyai salah satu “dewa” Mesir—seekor ular—dalam tangannya. Semua dewa di Mesir bukanlah ancaman kepada satu-satunya Tuhan yang benar.

Kizombo merenungkan tentang kisah Musa, dan dia telah memahami jawapan Tuhan: Kamu mempunyai Aku dan Firman-Ku. Dia juga terfikir tentang sahabat-sahabatnya yang menggalakkannya untuk menulis kisah bapanya supaya orang lain akan mengetahui tentang kuasa Tuhan dalam kehidupannya. Sesungguhnya, dia tidak keseorangan.

Walaupun dengan sedaya upaya kita, itu masih tidak cukup. Namun kita melayani Tuhan yang berkata, “Aku akan bersama dengan kamu” (KELUARAN 3:12).