Apabila kucing saya Mickey terkena jangkitan mata, saya menggunakan ubat mata untuk merawat matanya setiap hari. Sebaik sahaja saya meletakkan Mickey di atas meja bilik mandi, dia akan duduk, memandang ke arah saya dengan mata yang ketakutan, dan bersedia untuk pancutan ubat mata tersebut. “Kucing pandai,” saya membisik. Walaupun Mickey tidak memahami apa yang saya sedang lakukan, dia tidak pernah melompat, mendesis, atau mencakar saya. Sebaliknya, Mickey akan lebih mendekati saya—orang yang menyebabkannya melalui pengalaman pahit ini. Mickey tahu bahawa dia boleh mempercayai saya.
Ketika Daud menulis Mazmur 9, dia mungkin telah banyak kali mengalami kasih dan kesetiaan Tuhan. Dia datang kepada Tuhan untuk mencari perlindungan daripada musuh-musuhnya, dan Tuhan telah bertindak bagi pihaknya (MAZMUR 9:3-6). Pada waktu Daud memerlukan pertolongan, Tuhan tidak pernah mengecewakannya. Hasilnya, Daud mula mengenali Tuhan—Dia amat berkuasa dan benar, penuh kasih dan kesetiaan. Dengan itu, Daud percaya kepada Tuhan.
Sejak kali pertama saya menemui Mickey sebagai anak kucing yang kelaparan di jalanan dan mengambilnya, saya sudah beberapa kali menjaganya ketika kucing ini jatuh sakit. Mickey tahu bahawa dia boleh mempercayai saya—walaupun semasa saya melakukan sesuatu yang dia tidak fahami. Demikian juga, dengan mengingati kesetiaan Tuhan kepada kita dan sifat-Nya, ia membantu kita mempercayai-Nya apabila kita tidak memahami apa yang sedang dilakukan-Nya. Semoga kita terus percaya kepada Tuhan ketika melalui masa-masa sukar dalam kehidupan kita.