Sewaktu anda memesan makanan atas talian, adakah pemandu penghantar makanan tersebut lewat sampai? Anda boleh menggunakan telefon pintar untuk memberinya penilaian satu bintang. Adakah pemilik kedai melayan anda dengan sikap yang biadab? Anda boleh membuat aduan tentang kedainya. Walaupun kita boleh membeli-belah, kekal berhubung dengan sahabat dan sebagainya dengan menggunakan telefon pintar, kita juga diberi kuasa untuk menilai satu sama lain secara terbuka, dan ini boleh menimbulkan masalah.

Ini kerana penilaian seperti ini cenderung dibuat tanpa mengetahui konteks yang sebenar. Pemandu penghantar makanan tersebut yang datang lewat mendapatkan penilaian yang rendah disebabkan oleh keadaan yang di luar kawalannya. Pemilik kedai mendapat komen yang negatif sedangkan dia telah berjaga sepanjang malam kerana anaknya sakit. Bagaimanakah kita boleh elak daripada menilai orang lain secara tidak adil seperti ini?

Kita boleh memperbaiki keadaan ini dengan mencontohi sifat Tuhan. Dalam Keluaran 34:6-7, Tuhan menggambarkan diri-Nya “berlimpah kasih dan setia”—ertinya Dia tidak akan menilai kegagalan kita tanpa konteks; “panjang sabar”—ertinya Dia tidak akan membuat penilaian yang negatif selepas berlakunya suatu pengalaman yang buruk; mempunyai “kasih yang abadi”—ertinya Dia membetulkan kita untuk kebaikan kita, bukan untuk membalas dendam; dan “mengampunkan kesalahan”—ertinya kehidupan kita tidak ditentukan oleh penilaian satu bintang. Oleh sebab sifat Tuhan harus menjadi dasar hidup kita (MATIUS 6:33), maka kita boleh mengelakkan masalah yang disebabkan oleh telefon pintar dan berusaha untuk menjadi serupa dengan Kristus.

Pada zaman atas talian ini, setiap kita boleh menilai orang lain secara kasar. Semoga Roh Kudus menolong kita menunjukkan belas kasihan pada hari ini.