Terdapat beberapa spesies keluarga angsa Kanada dan anak angsa di kolam berhampiran dengan kompleks pangsapuri kami. Anak-anak angsa tersebut kelihatan gebu dan comel; sangat menarik perhatian saya apabila saya berjalan-jalan atau berjoging di sekitar kolam tersebut. Tetapi saya belajar supaya tidak bertentang mata dengan anak-anak angsa tersebut dan perlu menjaga jarak—kalau tidak, ibu angsa akan mendesis dan mengejar saya kerana menganggap saya sebagai ancaman kepada anak-anaknya.

Gambaran burung yang melindungi anak-anaknya adalah gambaran yang digunakan Alkitab untuk menggambarkan kasih Tuhan yang lemah lembut dan melindungi anak-anak-Nya (MAZMUR 91:4). Dalam Mazmur 61, Daud nampaknya sedang bergelut untuk mengalami penjagaan Tuhan dalam cara sedemikian. Dia telah mengalami Tuhan sebagai “menara perkasa yang melindungi[nya]” (ayat 3), tetapi sekarang dia berseru dengan terdesak “dari hujung bumi,” dan memohon, “bimbinglah aku ke tempat batuan yang lebih tinggi daripadaku” (ayat 2). Daud ingin sekali lagi “berlindung di bawah naungan sayap [Tuhan]” (ayat 4).

Dengan membawa kesengsaraan dan keinginannya kepada Tuhan untuk disembuhkan, Daud telah menemui ketenangan bahawa Tuhan telah mendengarnya (ayat 5). Oleh sebab kesetiaan Tuhan, Daud “menyanyikan puji-pujian bagi nama [Tuhan] selama-lamanya” (ayat 8).

Seperti pemazmur, apabila kita berasa jauh daripada kasih Tuhan, datanglah kepada-Nya dan percayalah bahawa walaupun dalam kesengsaraan kita, Tuhan bersama dengan kita, melindungi dan menjaga kita seperti induk burung yang menjaga anaknya.