Ronit berasal daripada keluarga yang beragama tetapi bukan Kristian. Perbincangan mereka tentang hal-hal rohani terlalu formal dan membosankan. “Saya selalu lafazkan semua doa,” katanya, “tetapi saya tidak mendengar apa-apa [daripada Tuhan].”

Kemudian dia mulai membaca Alkitab, secara perlahan-lahan dia semakin mempercayai Yesus sebagai Mesias (Penyelamat). Ronit menerangkan detik yang penting itu: “Saya mendengar suara yang jelas dalam hati saya berkata, ‘Kamu sudah banyak mendengar. Kamu sudah banyak melihat. Sudah tiba masanya untuk percaya.’ ” Namun Ronit menghadapi masalah, iaitu bapanya. “Respons ayah saya seperti Gunung Vesuvius meletus,” katanya ketika teringat masa itu.

Semasa Yesus hidup di bumi ini, orang ramai mengikut Dia (Lukas 14:25). Kita tidak tahu dengan pasti apa yang dicari mereka, tetapi Yesus sedang mencari murid-murid, dan itu menuntut suatu pengorbanan. “Jika seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan nyawanya, dia tidak boleh menjadi murid-Ku,” kata Yesus (ayat 26). Lalu Yesus bercerita tentang membina sebuah menara, kata-Nya, “Dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya…” (ayat 28). Maksud Yesus bukannya suruh kita betul-betul membenci keluarga kita; tetapi kita mesti mengutamakan Dia daripada segala-galanya. Dia berkata lagi, “Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala miliknya, tidak boleh menjadi murid-Ku” (ayat 33).

Ronit sangat menyayangi keluarganya, namun dia menyimpulkan, “Walau apa pun harganya, saya rasa itu berbaloi.” Apabila Yesus membimbing anda untuk mengikut Dia, apakah yang mungkin anda perlu tinggalkan?