Baru-baru ini saya melawat Athens di Yunani. Semasa berjalan-jalan mengelilingi Agora Purba, —tempat mengajar ahli falsafah dan tempat menyembah orang Athena—saya menjumpai mazbah dewa Apollo dan Zeus yang dekat dengan Acropolis, tempat berdirinya patung dewi Athena.

Walaupun kita tidak menyembah Apollo atau Zeus pada hari ini, tetapi masyarakat masih berpegang kepada pelbagai agama. “Semua orang menyembah sesuatu,” kata penulis novel David Foster Wallace, sambil menambah amaran ini: “Jika anda menyembah wang dan benda … anda tidak pernah berasa cukup … menyembah tubuh dan kecantikan anda … anda akan sentiasa berasa hodoh … menyembah daya fikir … anda akan berasa bodoh.” Zaman sekular kita mempunyai tuhan-tuhannya sendiri, dan tuhan-tuhan ini boleh membawa kerosakan.

“Saudara-saudara orang Atena!” Paulus berkata semasa melawat Agora, “Aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan” (Kisah Para Rasul 17:22). Kemudian rasul itu menggambarkan Tuhan yang esa ialah Pencipta atas segala sesuatu (ayat 24-26) yang ingin dikenali orang (ayat 27) dan telah menyatakan diri-Nya kepada manusia melalui kebangkitan Yesus (ayat 31). Tidak seperti Apollo dan Zeus, Tuhan yang esa bukan dibuat oleh tangan manusia. Tidak seperti wang, rupa, atau kebijaksanaan, menyembah Dia akan membawa berkat kepada kita!

Segala yang kita harapkan boleh memberi kita tujuan kehidupan dan keselamatan akan menjadi “tuhan” kita. Syukurlah, apabila setiap tuhan duniawi mengecewakan kita, Tuhan yang esa sedia untuk ditemui oleh semua orang (ayat 27).