Selepas saya bertelingkah dengan ibu saya, akhirnya dia bersetuju untuk berjumpa dengan saya di satu tempat yang jaraknya lebih daripada sejam perjalanan dari rumah saya. Apabila tiba di sana, saya mendapati dia telah meninggalkan tempat itu sebelum saya sampai. Dengan marah, saya mengirimkan mesej kepadanya, tetapi saya menyemak mesej itu semula selepas saya berasa Tuhan mendorong saya untuk membalas dalam kasih. Selepas ibu saya membaca mesej tersebut dia menghubungi saya. “Kamu sudah berubah,” katanya. Tuhan menggunakan mesej saya untuk memimpin ibu saya bertanya tentang Yesus, dan akhirnya dia menerima Yesus sebagai Penyelamat peribadinya.

Dalam Matius 5, Yesus mengesahkan bahawa murid-murid-Nya ialah cahaya dunia (ayat 14). Dia berkata, “Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga” (ayat 16). Pada saat kita menerima Kristus sebagai Penyelamat kita, kita juga menerima kuasa Roh Kudus. Dia mengubah kita supaya kita boleh menjadi saksi yang “bercahaya” bagi kebenaran dan kasih Tuhan ke mana pun kita pergi.

Melalui kuasa Roh Kudus, kita boleh menjadi cahaya harapan dan kedamaian yang membawa sukacita, yang semakin kelihatan seperti Yesus setiap hari. Setiap perkara baik yang kita lakukan kemudiannya menjadi tindakan yang penuh kesyukuran, yang kelihatan menarik kepada orang lain dan boleh dianggap sebagai iman yang bersemangat. Dengan berserah kepada Roh Kudus, kita boleh memberi kemuliaan kepada Bapa dengan memantulkan cahaya Anak—Yesus.