Seorang sukarelawan yang berbelas kasihan telah dipanggil sebagai “malaikat pelindung” kerana tindakannya yang berani. Masa itu Jake Manna sedang memasang panel solar di tapak kerjanya, namun dia terus menyertai pasukan pencarian untuk mencari seorang anak perempuan berusia lima tahun yang hilang. Semasa jiran-jiran mencari di garaj dan halaman rumah mereka, Manna mengambil jalan yang menuju ke kawasan hutan berhampiran. Di situ dia ternampak budak itu sudah tenggelam separas pinggang di dalam paya. Dengan segera dia mengharungi lumpur yang melekit dengan berhati-hati, kemudian menarik budak itu keluar dan membawa dia pulang kepada ibunya yang penuh kesyukuran. Walaupun anak itu dalam keadaan lembap, kini dia terselamat tanpa cedera.

Seperti budak kecil itu, Daud juga mengalami pembebasan. Penyanyi itu “menantikan TUHAN dengan sabar” agar Tuhan menjawab seruan tulusnya yang memohon belas kasihan (Mazmur 40:1), dan Dia memang menjawapnya. Tuhan menyendeng, memperhatikan seruannya meminta pertolongan dan membalasnya dengan menyelamatkannya dari “tanah liat berpaya” (ayat 2)—menyediakan landasan yang penuh kepastian untuk sepanjang hidup Daud. Pengalaman masa lalu Daud yang diselamatkan dari paya kehidupan yang berlumpur menguatkan keinginannya untuk menyanyikan lagu pujian, terus percaya kepada Tuhan dalam apa jua keadaan pada masa hadapan dan berkongsi kisahnya dengan orang lain (ayat 3-4).

Apabila kita berada dalam cabaran kehidupan seperti kesulitan kewangan, masalah rumah tangga dan berasa kekurangan, marilah kita berseru kepada Tuhan dan sabar menanti pertolongan-Nya (ayat 1). Dia ada, dan bersedia menolong kita pada masa kita memerlukan-Nya, serta menetapkan langkah kita di tempat yang kukuh.