Selepas merekrut Deland McCullough untuk bermain bola sepak Amerika bagi Universiti Miami, Sherman Smith semakin menyayangi Deland dan sudi menjadi bapa yang tidak pernah dimiliki oleh dia. Deland sangat mengagumi Sherman dan berhasrat untuk menjadi lelaki seperti dia. Beberapa dekad kemudian, apabila Deland menjejaki ibu kandungnya, dia terkejut dengan berita ini, “Nama ayah kamu ialah Sherman Smith.” Ya, Sherman Smith itu. Jurulatih Smith terkejut apabila mengetahui dia mempunyai seorang anak lelaki, Deland juga terkejut bahawa tokoh bapa itu sebenarnya ialah bapanya sendiri!

Kali seterusnya mereka bertemu, Sherman memeluk Deland dan berkata, “Anakku.” Deland tidak pernah mendengar seruan daripada seorang bapa. Dia tahu seruan Sherman itu bermaksud, “Saya sungguh bangga, sebab kamulah anakku.’ ” Ini membuat Deland terharu.

Kita juga harus terharu dengan kasih sempurna Bapa syurgawi kita. Yohanes menulis, “Ketahuilah betapa kasihnya Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah!” (1 Yohanes 3:1). Kita juga seperti Deland, tidak berani menyangka seseorang seperti Sherman boleh menjadi ayahnya. Betulkah? Yohanes menegaskan, ya, “memang kita adalah anak-anak Allah” (ayat 1, TB).

Jika anda percaya kepada Yesus, Bapa-Nya juga ialah Bapa anda. Anda mungkin berasa seperti yatim piatu, keseorangan di dunia ini. Namun kebenarannya anda mempunyai Bapa—satu-satunya Bapa yang sempurna—dan Dia bangga memanggil anda sebagai anak-Nya.