“Anak burung itu akan terbang esok!” kata isteri saya, Cari, yang sangat gembira melihat perkembangan keluarga burung ren di dalam sebuah sarang bakul yang tergantung di anjung depan rumah kami. Dia memerhatikan anak-anak burung tersebut setiap hari, mengambil gambar semasa induk burung membawa makanan ke sarang.

Cari bangun awal keesokan paginya untuk melihat burung-burung itu. Dia memindahkan beberapa tumbuhan hijau ke tepi yang menutupi sarang untuk melihat anak burung, tetapi dia telah bertembung dengan seekor ular. Ular itu telah merayap menaiki dinding masuk ke dalam sarang, dan makan semua anak-anak burung.

Cari berasa kecewa dan marah. Masa itu saya berada di luar bandar, jadi dia memanggil seorang kawan untuk mengeluarkan ular itu, tetapi sedihnya kemusnahan telah terjadi.

Alkitab menceritakan tentang ular lain yang telah mengakibatkan kemusnahan. Ular di taman Eden telah menipu Hawa tentang pohon yang Tuhan telah memberi amaran agar dia tidak makan buahnya: “Kamu pasti tidak akan mati,” dia berdusta, “Memang Allah tahu bahawa pada hari kamu memakannya akan terbukalah matamu dan kamu akan seperti Allah yang mengetahui yang baik dan yang jahat” (Kejadian 3:4-5).

Dosa dan kematian memasuki dunia akibat ketidaktaatan Hawa dan Adam kepada Tuhan, dan penipuan berterusan yang dilakukan oleh “ular purba itu, iaitu Iblis atau Syaitan” (Wahyu 20:2). Tetapi Yesus datang “untuk membinasakan pekerjaan Iblis” (1 Yohanes 3:8), dan melalui Dia hubungan kita dengan Tuhan dipulihkan. Pada suatu hari kelak, Dia akan mencipta “segalanya baru” (Wahyu 21:5).