Di beberapa buah kem tentera di seluruh Eropah semasa Perang Dunia II, sejenis bekalan yang luar biasa telah dijatuhkan dari udara untuk para askar yang merindui kampung halaman mereka—piano-piano tegak. Piano ini dibuat khas dengan hanya mengandungi sepuluh peratus jumlah logam biasa, diliputi dengan gam kalis air khas dan rawatan anti serangga. Piano ini ringkas dan lasak, tetapi menyediakan hiburan yang membangkitkan semangat bagi para askar yang berkumpul selama berjam-jam untuk menyanyikan lagu-lagu yang biasa dinyanyikan di rumah.
Menyanyi—terutama lagu pujian—adalah salah satu cara orang yang percaya kepada Yesus mendapatkan kedamaian walaupun ketika dalam pertempuran. Raja Yosafat menyedari kebenaran ini apabila bala tentera musuh yang jumlahnya besar datang menyerang (2 Tawarikh 20). Dalam ketakutan, raja memanggil semua orang berdoa dan berpuasa (ayat 3-4). Maka Tuhan memberitahu dia supaya memimpin tenteranya keluar menghadapi musuh, dan berjanji bahawa mereka “tidak usah berperang dalam pertempuran ini” (ayat 17). Yosafat percaya kepada Tuhan dan bertindak dalam iman. Dia melantik para penyanyi untuk mendahului para askar dan menyanyikan pujian kepada Tuhan untuk kemenangan yang mereka percaya akan peroleh (ayat 21). Ketika muzik mereka bermula, Dia secara ajaib mengalahkan musuh mereka dan menyelamatkan umat-Nya (ayat 22).
Kemenangan tidak selalu datang mengikut kemahuan kita, tetapi kita sentiasa boleh mengisytiharkan kemenangan Yesus sepenuhnya ke atas dosa dan kematian yang telah kita peroleh. Kita boleh memilih untuk menyembah Tuhan dengan sepenuh hati dan memperoleh sejahtera-Nya walaupun di tengah-tengah zon perang.