Selama bertahun-tahun, John adalah seorang yang “bermasalah” di gereja. Dia panas baran, suka sangat mendesak dan bersikap kasar. Dia sentiasa mengadu bahawa dia tidak “dilayan” dengan baik, menyalahkan sukarelawan dan kakitangan di gereja bahawa mereka tidak menjalankan tugas mereka. Secara jujur, dia seorang yang sukar dikasihi.

Jadi apabila saya mendengar bahawa dia telah disahkan menghidap kanser, saya dapati sukar berdoa untuknya. Kenangan kata-katanya yang pedas dan sikap yang tidak menyenangkan memenuhi fikiran saya. Namun apabila mengingati panggilan Yesus untuk mengasihi, saya terdorong mengucapkan doa singkat untuk John setiap hari. Beberapa hari kemudian, saya mendapati diri saya mula kurang kerap berfikir tentang sifat-sifatnya yang tidak disukai itu. Dia pasti bersedih hati, fikirku. Mungkin dia sekarang berasa tidak berdaya.

Saya menyedari doa boleh membuka diri kita, serta menyerahkan perasaan kita dan hubungan kita dengan orang lain kepada Tuhan, membenarkan Dia masuk dan memimpin kita melihat semua kejadian menurut perspektif-Nya. Apabila kita menyerahkan kehendak dan perasaan kita kepada-Nya dalam doa, Roh Kudus pasti akan mengubah hati kita secara perlahan-lahan. Tidak hairanlah Yesus bukan sahaja memanggil kita mengasihi musuh kita, tetapi juga mendoakan mereka: “Doakan orang yang menganiayai kamu” (Lukas 6:28).

Saya harus mengakui, saya masih bergelut untuk bersangka baik tentang John. Tetapi dengan pertolongan Roh Kudus, saya belajar untuk melihat dia melalui mata dan hati Tuhan—sebagai orang yang harus diampuni dan dikasihi.