Sudah terlambat, bunyi “klik” yang mengerikan kedengaran di bawah but tempur Tom. Atas dorongan hormon adrenalin, dia melompat pantas mengikut naluri untuk menyelamatkan diri. Mujurnya periuk api yang tersembunyi di bawah tanah itu tidak meletup. Kemudian, pasukan pelupusan bahan letupan menemukan kira-kira 36 kg bahan letupan tinggi di tempat kejadian. Sejak itu Tom memakai but itu sehingga rosak. Dia memanggilnya, “But bertuah saya.”

Tom mungkin berpaut pada but itu semata-mata untuk memperingati waktu yang dia nyaris maut. Namun orang sering tergoda untuk menganggapnya sebagai objek yang “bertuah”, bahkan ada orang memberinya label yang lebih rohani sebagai “diberkati.” Bahaya akan datang apabila kita percaya bahawa sesuatu objek—malah simbol—sebagai sumber berkat daripada Tuhan.

Orang Israel mempelajari ini dengan cara yang sukar. Tentera Filistin baru mengalahkan mereka dalam pertempuran. Semasa orang Israel meninjau kembali malapetaka itu, seseorang telah mencadangkan supaya membawa “tabut perjanjian TUHAN” ke dalam pertempuran (1 Samuel 4:3). Itu kelihatan seperti idea yang bagus (ayat 6-9). Lagipun, tabut perjanjian ialah objek suci.

Namun orang Israel mempunyai perspektif yang salah. Tabut itu sendiri tidak dapat membawa apa-apa kepada mereka. Dengan meletakkan iman mereka pada objek dan bukannya hadirat Tuhan yang esa, akibatnya orang Israel mengalami kekalahan yang lebih teruk, malah musuh merampas tabut tersebut (ayat 10-11).

Kenangan lalu yang mengingatkan kita untuk bersyukur dan berdoa kepada Tuhan atas kebaikan-Nya adalah baik, tetapi semua itu bukan sumber berkat. Hanya Tuhan ialah sumber bagi segala berkat kita.