Ketika saya menuruni tangga bangunan pejabat, tiba-tiba saya berasa pening. Dalam ketakutan, saya memegang erat selusur tangga yang kelihatan berpusing. Ketika itu jantung saya berdegup kencang dan kaki saya lemas, saya berpaut pada selusur, bersyukur ia kuat. Ujian perubatan menunjukkan saya mengalami anemia (kekurangan sel darah merah). Walaupun keadaan saya tidak serius dan tidak lagi berasa pening, saya tidak akan lupa betapa lemahnya saya pada ketika itu.

Itulah sebabnya saya mengagumi wanita yang menyentuh Yesus, yakni wanita yang menghidap penyakit pendarahan. Dia bukan sahaja bergerak di antara orang ramai dalam keadaannya yang lemah, tetapi dia juga menunjukkan iman yang bertekad untuk mendekati Yesus (Matius 9:20-22). Dia mempunyai sebab yang kukuh untuk berasa takut: Peraturan-peraturan Yahudi menyatakan dia sebagai najis dan jika dia mendedahkan orang lain kepada najis, dia boleh menerima akibat yang serius (Imamat 15:25-27). Namun kepercayaannya bahawa Apabila kusentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh membuat dia tetap bertahan. Terjemahan perkataan Yunani“kusentuh” dalam Matius 9:21 bukanlah sekadar menyentuh, tetapi mempunyai makna yang lebih kuat, iaitu “pegangan pada” atau “melekatkan diri.” Wanita itu berpegang erat pada Yesus. Dia percaya Yesus boleh menyembuhkannya.

Antara orang ramai itu, Yesus melihat iman wanita itu dalam keadaan yang terdesak. Apabila kita juga berusaha menaruhkan iman dan berpaut pada Kristus dalam kekurangan kita, Dia akan menyambut kita dan datang menolong kita. Kita boleh memberitahu Dia masalah kita tanpa berasa takut ditolak atau dihukum. Yesus memberitahu kita hari ini, “Berpautlah pada-Ku.”