Wanita yang baru menjadi balu itu semakin bimbang. Untuk menuntut sejumlah wang daripada satu polisi insurans, dia memerlukan maklumat penting tentang kemalangan yang telah meragut nyawa suaminya. Dia telah bercakap dengan seorang pegawai polis yang bersetuju untuk membantunya, tetapi kad nama polis tersebut telah hilang. Maka dia berdoa, memohon pertolongan kepada Tuhan. Tidak lama selepas itu, ketika dia berada di gerejanya sambil berjalan di tepi tingkap, dia melihat sekeping kad—kad nama polis itu—di ambang tingkap. Dia tidak tahu bagaimana kad itu berada di situ, tetapi dia tahu sebabnya.
Wanita itu sungguh serius dalam doa. Mengapa? Alkitab mengatakan bahawa Tuhan sedang mendengar permintaan kita. “Mata Tuhan tertuju kepada orang yang benar,” tulis Petrus, “dan telinga-Nya mendengar doa mereka” (1 Petrus 3:12).
Alkitab memberi kita contoh bagaimana Tuhan menjawab doa. Salah satunya ialah Hizkia, raja Yehuda, yang jatuh sakit. Malah dia telah menerima berita daripada nabi Yesaya yang mengatakan dia akan mati. Raja tahu apa yang harus dilakukan: dia “berdoa kepada TUHAN” (2 Raja-Raja 20:2). Dengan segera, Tuhan memberitahu Yesaya untuk menyampaikan mesej-Nya kepada raja: “Telah Kudengar doamu” (ayat 5). Kemudian umur Hizkia ditambah lima belas tahun lagi.
Tuhan tidak selalu menjawab doa melalui perkara seperti kad nama di ambang tingkap, tetapi Dia memberi jaminan kepada kita bahawa apabila situasi sukar muncul, kita tidak perlu menghadapinya sendirian. Tuhan melihat kita, bersama dengan kita, dan Dia mendengar doa kita.