Saya tidak melihat ais itu, tetapi dapat merasakannya. Masa itu saya sedang memandu pikap datuk saya, tiba-tiba tayar di bahagian belakang kehilangan kawalan. Pikap itu melencong sebanyak tiga kali sehingga saya tercampak ke udara kira-kira setinggi 5 meter dari benteng. Masa itu saya sempat berfikir, kalau tidak kerana saya akan mati, alangkah hebatnya perasaan ini di udara! Seketika kemudian, pikap kecil itu terjunam ke cerun dan berguling ke kaki bukit. Saya merangkak keluar dari tempat duduk pemandu yang hancur, tanpa cedera.
Pikap itu telah termusnah pada pagi Disember 1992. Tuhan telah menyelamatkan saya, tetapi bagaimana dengan datuk saya? Apakah yang akan dikatakannya? Sesungguhnya, dia tidak pernah berkata sepatah pun tentang pikap itu. Tidak satu pun. Tiada teguran, tiada pelan bayaran balik, tiada apa-apa. Hanya pengampunan, dan senyuman seorang datuk ketika dia melihat cucunya terselamat.
Keprihatinan datuk saya mengingatkan saya tentang anugerah Tuhan dalam Yeremia 31. Walaupun Israel melakukan dosa yang besar, Tuhan berjanji akan memulihkan hubungan dengan umat-Nya, “Aku akan mengampunkan kesalahan mereka dan tidak akan mengingati dosa mereka lagi” (ayat 34).
Saya pasti datuk saya tidak pernah lupa bahawa saya telah merosakkan pikapnya. Namun dia bertindak seperti Tuhan, dia tidak mengingatinya, tidak memalukan saya, tidak menuntut saya bekerja untuk membayar pampasan. Seperti yang dikatakan Tuhan, datuk saya juga memilih untuk tidak mengingatinya lagi, seolah-olah kerosakan yang saya lakukan tidak pernah berlaku.