Suatu hujung minggu pada bulan Mac, saya mengetuai retret dengan tema Maria dan Marta, dua bersaudara perempuan di Betania yang dikasihi Yesus bersama dengan saudara lelaki mereka Lazarus (Yohanes 11:5). Kami berada di satu tempat yang terpencil di pinggir pantai di England. Apabila salji turun tanpa diduga, dan kami tidak dapat meninggalkan tempat itu, ramai peserta telah berkata bahawa hari tambahan itu bermakna mereka boleh berlatih untuk duduk dekat kaki Kristus seperti Maria. Mereka mahu mengejar “satu perkara sahaja yang diperlukan” (Lukas 10:42), sebagaimana Yesus dengan penuh kasih memberitahu Marta inilah yang patut dihargainya, iaitu memilih untuk mendekatkan diri dan belajar daripada-Nya.

Apabila Yesus melawat rumah Marta, Maria dan Lazarus, Marta tidak tahu Dia akan datang lebih awal, jadi kita boleh memahami sebabnya dia berasa kecewa dengan Maria kerana tidak membantu dia menyediakan makanan bagi Yesus dan rakan-rakan-Nya. Namun dia lupa apa yang sebenarnya lebih penting—menerima ajaran Yesus semasa dia belajar daripada-Nya. Kristus bukannya memarahi Marta kerana ingin melayani Dia, tetapi memperingatkannya bahawa Marta kehilangan perkara yang paling penting.

Apabila gangguan membuat kita cepat marah atau kita berasa tertekan tentang banyak perkara yang ingin kita capai, kita boleh berhenti dan memperingatkan diri kita apa yang sebenarnya penting dalam kehidupan ini. Semasa kita memperlahankan diri, membayangkan diri kita duduk dekat kaki Yesus, kita boleh meminta Dia memenuhi kita dengan kasih dan kehidupan-Nya. Kita boleh bersukacita kerana boleh menjadi murid yang dikasihi-Nya.