Masa kesaksian merupakan satu segmen dalam ibadah gereja kami apabila orang berkongsi tentang pekerjaan Tuhan dalam kehidupan mereka. Auntie—atau Sis Langford, sebagaimana dia dikenali dalam keluarga gereja kami—selalu dipenuhi pujian dalam kesaksiannya. Setiap kali dia bersaksi tentang kisah lahir baharunya, seseorang boleh menjangkakan dia akan mengambil lebih masa dalam ibadah gereja pada hari tersebut. Pujian tercurah dari hatinya kepada Tuhan kerana Dia telah mengubah hidupnya!

Begitu juga, kesaksian penulis Mazmur 66 dipenuhi dengan pujian semasa dia memberi kesaksian tentang apa yang telah dilakukan Tuhan untuk umat-Nya. “Marilah melihat perbuatan Allah, Dia sungguh menakjubkan dalam perbuatan-Nya terhadap anak-anak manusia!” (ayat 5). Perbuatan-Nya termasuk penyelamatan yang ajaib (ayat 6), perlindungan (ayat 9), dan ujian serta disiplin yang mengakibatkan umat-Nya dibawa ke tempat yang lebih baik (ayat 10-12). Walaupun kita mungkin mempunyai pengalaman rohani yang serupa dengan orang percaya yang lain dalam Yesus, tetapi terdapat juga perkara unik dalam perjalanan hidup peribadi kita. Pernahkah Tuhan memperkenalkan diri-Nya secara khusus pada suatu masa dalam kehidupan anda? Semua ini patut dikongsi dengan orang lain yang perlu mendengar cara Dia bekerja dalam kehidupan anda. “Marilah dan dengarlah, wahai kamu yang takut akan Allah; aku akan mengisytiharkan apa yang telah dilakukan-Nya untukku” (ayat 16).