Saudara lelaki ini melakukan banyak perkara dengan baik, tetapi dia mempunyai satu masalah, dan semua orang melihatnya. Tetapi disebabkan dia berupaya melaksanakan sebahagian besar tugasnya dengan amat berkesan, maka isu kemarahannya tidak ditangani dengan sewajarnya. Dia tidak pernah benar-benar ditegur. Malangnya, perkara ini mengakibatkan ramai orang dilukai selama bertahun-tahun. Akhirnya kerjaya saudara dalam Kristus ini yang sepatutnya mempunyai masa depan yang cerah ditamatkan dengan awal. Alangkah baiknya jika saya memilih untuk menegurnya dalam kasih sejak awal lagi.

Dalam Kejadian 4, Tuhan memberikan gambaran yang sempurna tentang apa yang dimaksudkan untuk menegur dosa seseorang dalam kasih. Kain naik marah. Sebagai seorang petani, dia telah mempersembahkan “sebahagian daripada hasil bertani sebagai persembahan kepada TUHAN” (ayat 3). Namun Tuhan menjelaskan bahawa apa yang dipersembahkan kepada-Nya tidak diterima. Persembahan Kain telah ditolak, dan “naik beranglah Kain dan masam sekali mukanya” (ayat 5). Maka Tuhan menegurnya dan berkata, “Mengapakah kamu marah?” (ayat 6). Dia kemudian memberitahu Kain supaya berpaling daripada dosanya serta mengejar apa yang baik dan benar. Malangnya, Kain tidak mengendahkan firman Tuhan dan melakukan perbuatan yang mengerikan (ayat 8).

Walaupun kita tidak dapat memaksa orang lain berpaling daripada tingkah laku yang berdosa, kita boleh menegur mereka dengan penuh belas kasihan. Kita boleh “bercakap benar dalam kasih” supaya kita sama-sama “bertumbuh dalam segala hal ke arah Dia … iaitu Kristus” (Efesus 4:15). Selain itu, Tuhan memberi kita telinga untuk mendengar, jadi kita juga boleh menerima teguran pedih tetapi yang benar daripada orang lain.