Selama tiga tahun, setiap hari semasa persekolahan, Colleen telah memakai kostum atau topeng yang berbeza-beza untuk menyambut anak-anaknya apabila mereka turun dari bas sekolah pada setiap petang. Itu menggembirakan semua orang di dalam bas—termasuk pemandu bas: “[Dia] membawa kegembiraan kepada anak-anak di dalam bas saya, sungguh menakjubkan. Saya suka apa yang dilakukannya.” Anak-anak Colleen juga bersetuju.

Semuanya bermula ketika Colleen mula mengambil anak angkat. Dia sedar betapa sukarnya seseorang harus berpisah dengan ibu bapa dan menghadiri sekolah yang baharu, jadi dia mula menyapa anak-anaknya dengan berpakaian kostum. Selepas tiga hari berbuat demikian, anak-anaknya tidak mahu dia berhenti, jadi Colleen meneruskannya. Ini juga bermaksud Colleen harus mengambil masa dan wang untuk pergi ke kedai-kedai pakaian terpakai, tetapi seperti yang dijelaskan oleh wartawan Meredith TerHaar, tindakan ini membawa “hasil yang tidak ternilai: kegembiraan.”

Satu ayat kecil dalam sebuah buku yang mengandungi nasihat yang bijak, dan sebahagian besarnya ditulis oleh Raja Salomo kepada anaknya meringkaskan hasil daripada telatah ibu ini: “Hati yang gembira adalah ubat yang baik, tetapi semangat yang patah mengeringkan tulang” (Amsal 17: 22). Dengan memberikan keceriaan kepada semua anaknya (anak kandungnya, anak angkat dan anak pelihara), Colleen berharap dapat mengelakkan semangat yang hancur.

Sumber kegembiraan yang sejati dan kekal adalah diberikan oleh Tuhan melalui Roh Kudus (Lukas 10:21; Galatia 5:22). Roh Kudus menolong kita menyinarkan cahaya Tuhan apabila kita berusaha untuk membawa kegembiraan kepada orang lain, kegembiraan yang menawarkan harapan dan kekuatan kepada orang untuk menghadapi pelbagai ujian kehidupan.