Semasa kecil, Ming selalu berasa ayahnya kasar dan tidak mesra. Walaupun semasa Ming sakit dan terpaksa berjumpa pakar kanak-kanak, bapanya merungut bahawa itu menyusahkannya. Suatu ketika, dia terdengar pertengkaran dan mendapat tahu bahawa ayahnya mahu dia digugurkan ketika dia masih dalam kandungan. Perasaan sebagai seorang kanak-kanak yang tidak diingini terbawa ke usia dewasanya. Apabila Ming percaya kepada Yesus, dia mendapati sukar untuk berhubung dengan Tuhan sebagai Bapa, walaupun dia mengenali Dia sebagai Tuhan dalam hidupnya.
Jika kita seperti Ming, berasa tidak dikasihi oleh bapa duniawi kita, kita mungkin menghadapi keraguan yang sama dalam hubungan kita dengan Tuhan. Kita mungkin tertanya-tanya, Adakah saya membebankan Dia? Adakah Dia mengambil berat tentang saya? Tetapi sementara bapa duniawi kita mungkin senyap dan bersikap dingin, Tuhan Bapa syurgawi kita berada dekat dengan kita dan berkata, “Aku ini mengasihi engkau” (Yesaya 43:4).
Dalam Yesaya 43, Tuhan berbicara sebagai Pencipta dan Bapa kita. Jika anda tertanya-tanya sama ada Dia mahu anda hidup di bawah jagaan-Nya sebagai ahli keluarga-Nya, dengar apa yang dikatakan-Nya kepada umat-Nya: “Bawalah anak-anak lelaki-Ku dari jauh dan anak-anak perempuan-Ku dari ujung bumi” (ayat 6). Jika anda ingin tahu apa itu nilai anda kepada-Nya, dengarlah pengakuan-Nya: “Engkau berharga dan mulia di mata-Ku” (ayat 4).
Tuhan sangat mengasihi kita sehingga Dia menghantar Yesus ke dunia untuk membayar hukuman dosa supaya kita yang percaya kepada-Nya boleh bersama dengan-Nya selama-lamanya (Yohanes 3:16). Oleh sebab apa yang dikatakan-Nya dan dilakukan-Nya untuk kita, kita boleh mempunyai keyakinan penuh bahawa Dia menerima kita dan mengasihi kita.