Semasa saya berjalan-jalan pada suatu pagi, matahari muncul di perairan Tasik Michigan pada sudut yang sempurna serta menghasilkan pemandangan yang menakjubkan. Saya minta rakan saya berhenti dan menunggu saya sambil saya meletakkan kamera pada posisi yang tepat untuk mengambil gambar. Oleh sebab kedudukan matahari ketika itu, saya tidak dapat melihat imej pada skrin telefon saya sebelum saya mengambil gambar. Namun oleh sebab saya pernah melakukannya sebelum ini, saya yakin ini akan menjadi gambar yang hebat. Saya memberitahu rakan saya, “Kita tidak dapat melihatnya sekarang, tetapi hasil gambar ini pasti baik.”

Berjalan dengan iman dalam kehidupan selalunya seperti mengambil gambar. Anda tidak selalu dapat melihat butiran pada skrin, tetapi itu tidak bermakna gambar yang menakjubkan itu tidak wujud. Anda tidak selalu melihat Tuhan bekerja, tetapi anda boleh mempercayai Dia ada. Seperti yang ditulis oleh penulis Ibrani, “Iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat” (11:1). Dengan iman kita meletakkan keyakinan dan jaminan kita kepada Tuhan—terutama apabila kita tidak dapat melihat atau memahami apa yang dilakukan-Nya.

Dengan iman, walaupun kita tidak dapat melihat dengan jelas, ini tidak patut menghalangi kita “mengambil gambar yang cantik”, malahan membuat kita lebih banyak berdoa dan mencari petunjuk Tuhan. Apabila kita mengetahui bahawa dahulunya ramai orang telah berjalan dengan iman (ayat 4-12), tambahan lagi pengalaman kita sendiri, iman kita juga akan menjadi teguh. Apa yang telah dilakukan Tuhan sebelum ini, Dia akan melakukannya lagi.