Apabila seorang penulis Amerika, O. Henry menulis cerita kegemarannya tentang Krismas pada tahu 1905, The Gift of the Magi (Hadiah Ahli Ilmu Bintang), dia sedang bergelut untuk pulih daripada masalah peribadinya. Namun, dia telah mengarang sebuah cerita yang penuh inspirasi yang menampilkan sifat Kristus—pengorbanan. Dalam cerita tersebut, seorang isteri yang miskin menjual rambut panjangnya yang cantik pada malam Krismas untuk membeli seutas rantai emas untuk suaminya. Namun selepas itu, dia mendapati bahawa suaminya telah menjual jam tersebut untuk membeli satu set sisir untuk rambutnya yang cantik.

Apakah hadiah yang paling berharga bagi mereka berdua? Pengorbanan. Mereka masing-masing telah menunjukkan kasih yang mendalam.

Kisah mereka adalah gambaran tentang pemberian yang berharga daripada ahli-ahli ilmu bintang (orang bijak) yang dipersembahkan kepada Kristus selepas kelahiran-Nya (lihat Matius 2:1,11). Namun, yang lebih penting daripada semua pemberian tersebut ialah pada suatu hari nanti, Yesus akan memberi nyawa-Nya kepada seluruh dunia.

Dalam kehidupan harian kita, orang yang percaya kepada Kristus dapat memperlihatkan pemberian-Nya yang besar melalui pengorbanan kita dalam bentuk masa, harta dan kasih terhadap orang lain. Seperti yang ditulis oleh rasul Paulus, “Oleh itu, saudara-saudaraku, aku menyeru kepadamu, demi belas kasihan Allah, supaya mempersembahkan tubuh badanmu sebagai korban yang hidup, yang suci dan diterima oleh Allah” (Roma 12:1). Tiada pemberian yang lebih berharga selain berkorban demi orang lain melalui kasih Yesus.