Orang yang kita kenal sebagai Saint Nicholas (Santo Nick) dilahirkan sekitar tahun 270 M dalam sebuah keluarga kaya Yunani. Namun tragiknya, ibu bapanya meninggal semasa dia masih kecil, maka dia tinggal bersama dengan bapa saudaranya yang sangat menyayanginya serta mengajarnya untuk mengikut Tuhan. Apabila Nicholas menjadi dewasa, legenda menyatakan bahawa dia mendengar tentang tiga orang adik-beradik perempuan yang tidak mempunyai hantaran kahwin dan semakin menjadi miskin. NIcholas ingin mengikut ajaran Tuhan tentang memberi kepada orang yang memerlukan, maka ini telah mendorong dia mengambil harta yang diwarisinya dan memberikan kepada setiap perempuan tersebut satu beg syiling emas. Selama bertahun-tahun, Nicholas menggunakan baki wangnya untuk memberi makan kepada orang miskin dan menjaga orang lain. Beberapa abad berikutnya, Nicholas diberi penghormatan kerana kemurahan hatinya, dan dia menginspirasikan orang untuk menciptakan watak yang kita ketahui sebagai Santa Klaus.

Walaupun perhiasan yang terlampau mewah dan iklan pada musim Krismas ini boleh memutarbalikkan tujuan sebenar kita menyambut perayaan ini, tradisi memberi hadiah ada kaitan dengan Nicholas, Dan kemurahan hatinya adalah berasaskan kesetiaannya kepada Yesus. Nicholas tahu bahawa Kristus telah menunjukkan kemurahan hati yang tidak terbayangkan, serta membawa hadiah yang paling bererti: Tuhan. Ini kerana Yesus ialah “Allah menyertai kita” (Matius 1:23). Dia memberikan kita anugerah kehidupan. Di dunia yang wujudnya kematian, “Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (ayat 21).

Apabila kita percaya kepada Yesus, kemurahan hati yang sedia berkorban akan wujud dalam diri kita. Kita akan cenderung prihatin pada keperluan orang lain, dan kita dengan sukacita akan membekalkan bantuan bagi mereka, sepertimana Tuhan menjaga keperluan kita. Ini adalah kisah Saint Nick; namun kisah Tuhan adalah jauh lebih berharga.