Semasa bercuti, saya dan isteri menikmati aktiviti berbasikal pada awal pagi. Satu laluan membawa kami melalui kawasan perumahan yang bernilai jutaan dolar. Kami melihat pelbagai golongan manusia—penduduk membawa anjing mereka berjalan-jalan, para penunggang basikal, dan ramai pekerja pembinaan rumah baru dan yang menjaga landskap-landskap yang terpelihara dengan baik. Ia merupakan campuran orang daripada pelbagai latar belakang yang berbeza, dan saya diingatkan tentang realiti yang berharga, bahawa sebenarnya tiada perbezaan antara kita. Kaya atau miskin. Hartawan atau golongan pekerja. Orang ternama atau orang biasa. Semua orang yang berada di laluan pada pagi itu adalah sama rata. “Orang kaya dan orang miskin mempunyai kesamaan: TUHAN yang menjadikan mereka semua” (Amsal 22:2). Tanpa mengira perbezaan, setiap kita diciptakan menurut gambaran-Nya. (Kejadian 1:27).
Namun lebih daripada itu. Sama rata di hadapan Tuhan juga bermaksud bahawa tidak kira keadaan ekonomi, sosial atau etnik, semua kita dilahirkan dengan keadaan berdosa: “semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah” (Roma 3:23). Semua orang tidak taat dan sama-sama berdosa di hadapan-Nya, dan kita memerlukan Yesus.
Kita sering kali membezakan orang atas pelbagai sebab. Namun, pada hakikatnya, setiap kita adalah sebahagian daripada umat manusia. Walaupun setiap kita berada dalam situasi yang sama—orang berdosa yang memerlukan Juruselamat—kita “dibenarkan dengan cuma-cuma” (hubungan manusia dengan Tuhan dipulihkan) melalui kasih kurnia-Nya (ayat 24, TB).