Jill Price dilahirkan dengan kondisi hyperthymesia: keupayaan luar biasa yang boleh mengingat semua perincian kejadian yang pernah berlaku kepadanya. Dia boleh mengimbas kembali apa-apa kejadian yang pernah dialaminya dengan tepat.
Rancangan TV Unforgettable telah menyiarkan seorang polis wanita yang menghidapi hyperthymesia—baginya ini merupakan satu kelebihan dalam permainan memori dan penyelesaian kes jenayah. Walau bagaimanapun, kondisi tersebut tidak menyeronokkan bagi Jill Price. Dia tidak dapat melupakan detik-detik menyakitkan yang pernah dialaminya seperti kritikan, kehilangan seseorang, atau melakukan sesuatu yang dikesalinya. Semua kejadian tersebut bermain di kepalanya berulang kali.
Tuhan kita adalah yang Maha Mengetahui … (mungkin sesuatu seperti hyperthymesia): Alkitab memberitahu kita bahawa pemahaman-Nya tidak terbatas. Dalam Yesaya kita juga menemui perkara yang paling meyakinkan: “Akulah Dia yang menghapuskan segala pelanggaranmu … dan tidak lagi mengingat dosa-dosamu” (43:25). Kitab Ibrani menekankan ini: “Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui … Yesus Kristus, … dosa dan perbuatan [kita] yang mungkar tidak akan [diingati Tuhan] lagi” (Ibrani 10:10, 17).
Ketika kita mengaku dosa kita kepada Tuhan, kita boleh berhenti daripada untuk mengimbas kembali dosa kita berulang kali dalam minda kita. Kita perlu melupakannya, seperti yang dilakukan Tuhan: “Jangan ingat-ingatkan hal-hal yang dahulu, jangan perhatikan hal-hal yang silam” (Yesaya 43:18). Dalam kasih-Nya yang besar, Tuhan memilih untuk melupakan dosa kita. Marilah kita ingat itu.