Seorang posmen menjadi risau apabila melihat kiriman surat salah seorang pelanggannya sudah bertimbun. Posmen itu tahu bahawa pelanggan tersebut iaitu seorang wanita tua yang tinggal sendirian, yang biasa mengambil suratnya setiap hari. Maka posmen itu membuat keputusan yang bijak, dengan menyuarakan kerisauannya kepada salah seorang jiran wanita tua tersebut. Jiran ini pun memaklumkan kebimbangan itu kepada seorang jiran lain yang mempunyai kunci pendua rumah wanita itu. Bersama-sama mereka masuk ke dalam rumah kawan mereka dan mendapati dia terbaring di atas lantai. Wanita ini telah jatuh 4 hari sebelumnya dan tidak dapat bangun atau meminta pertolongan. Posmen yang bijak, prihatin dan mengambil tindak yang tegas telah menyelamatkan nyawa wanita tersebut.

Amsal menyatakan, “orang yang memenangkan jiwa adalah orang yang bijaksana” (11:30, *FAYH). Kebijaksanaan yang datang dengan melakukan perkara yang betul dan hidup menurut hikmat Tuhan bukan sahaja memberkati diri kita tetapi juga orang lain. Menjalani hidup yang memuliakan Tuhan dan mengikut jalan-Nya akan menghasilkan kehidupan yang baik dan berbahagia. Ia juga mendorong kita memprihatinkan orang lain dan menjaga mereka.

Seperti yang ditekankan oleh penulis Amsal, hikmat ditemui dalam kebergantungan kepada Tuhan. Hikmat dianggap “lebih bernilai daripada segala permata, dan segala yang dihasratkan tidak setara dengannya” (8:11). Kebijaksanaan yang diberikan Tuhan adalah untuk membimbing kita di sepanjang hidup kita, bahkan ia mungkin dapat menyelamatkan nyawa seseorang.