LeeAdianez Rodriguez-Espada yang berumur 12 tahun berasa bimbang bahawa dia akan lewat untuk menyertai perlumbaan larian 5 km. Kegelisahannya menyebabkan dia berlari 15 minit lebih awal daripada masa mula lariannya dengan peserta-peserta separuh maraton (jarak yang lebih daripada 21 km!). LeeAdianez telah ketinggalan, maka dia terus berusaha untuk berlari. Namun kira-kira selepas berlari sepanjang 6 km, garisan penamat masih tidak kelihatan. Barulah dia sedar bahawa dia telah menyertai perlumbaan yang lebih panjang dan sukar. Budak perempuan ini tidak berputus asa, sebaliknya dia meneruskan larian. Akhirnya dia menamatkan perlumbaan sejauh 21 km dan mendapat tempat ke-1,885 antara 2,111 orang penamat. Ketabahan yang ditunjukkan sungguh mengagumkan!

Ketika mengalami penganiayaan, ramai orang yang percaya kepada Yesus pada abad pertama ingin berhenti dalam perlumbaan iman mereka, tetapi Yakobus menggalakkan mereka untuk terus tabah. Jika mereka terus tabah menghadapi cubaan, Tuhan menjanjikan mahkota kehidupan (Yakobus 1:4, 12). Pertama, ketabahan yang berterusan supaya mereka dapat “menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun” (ayat 4). Kedua, Tuhan akan memberi mereka “mahkota kehidupan”—menjalani kehidupan di dunia seperti kehidupan Yesus dan janji untuk berada dalam hadirat-Nya pada kehidupan yang akan datang (ayat 12).

Ada kalanya perlumbaan orang Kristian terasa tidak seperti yang kita fikirkan—lebih lama dan lebih sukar. Tetapi kerana Tuhan menyediakan apa yang kita perlukan, kita dapat bertahan dan terus berlari.