Tiga hari sebelum satu letupan bom menggegarkan rumahnya pada bulan Januari, 1957, Dr. Martin Luther King Jr. mengalami satu kejadian yang memberi kesan dalam hidupnya. Selepas menerima satu panggilan ugutan, King memikirkan strategi untuk keluar daripada gerakan hak sivil. Kemudian, doa timbul dari hatinya. “Aku berpegang teguh pada apa yang aku percaya betul. Tetapi sekarang aku takut. Aku tidak mempunyai apa-apa lagi. Aku telah sampai ke tahap yang aku tidak dapat menghadapinya seorang diri.” Selepas dia berdoa, timbul keyakinan dalam hatinya. King menyatakan, “hampir dengan serta merta, ketakutan saya lenyap. Keraguan saya hilang. Saya sudah bersedia untuk menghadapi apa sahaja.”

Dalam Yohanes 12, Yesus mengakui, “Hati-Ku resah” (ayat 27). Dia secara tulus menyatakan perasaan-Nya yang terdalam; namun Tuhan tetap menjadi fokus utama dalam doa Yesus. “Bapa, tunjukkanlah kemuliaan nama-Mu!” (ayat 28). Doa Yesus ialah doa yang Dia berserah kepada kehendak Tuhan.

Manusia cenderung berasa takut dan tidak selesa apabila kita harus berhadapan dengan pilihan untuk memuliakan Tuhan atau tidak; apabila hikmat diperlukan untuk membuat keputusan yang sukar mengenai hubungan, tabiat, atau amalan lain (baik mahupun buruk). Tidak kira apa yang kita hadapi, ketika kita berdoa kepada Tuhan disertai dengan keberanian, Dia akan memberi kita kekuatan untuk mengatasi ketakutan dan ketidakselesaan kita, serta melakukan apa yang memuliakan-Nya—untuk kebaikan kita dan orang lain.