“Saya bukan seperti yang dahulu. Saya kini orang yang baharu.” Begitulah kata-kata singkat daripada anak lelaki saya, yang dikatakannya kepada murid-murid lain semasa perhimpunan sekolah, menerangkan perubahan yang telah dibawa Tuhan dalam hidupnya. Sebelum ini, Geoffery melihat nilai diri berdasarkan dosa dan kesilapannya, kerana dia pernah ketagih heroin. Tetapi kini dia melihat dirinya sebagai anak Tuhan.

Alkitab menggalakkan kita dengan janji ini: “Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru” (2 Korintus 5:17). Tidak kira siapa kita atau apa yang pernah kita lakukan pada masa lalu, apabila kita percaya Yesus telah menyelamatkan kita dan menerima pengampunan-Nya melalui salib-Nya, kita menjadi seorang yang baharu. Sejak manusia pertama diusir dari taman Eden, akibat dosa kita telah menyebabkan kita berpisah daripada Tuhan, tetapi Dia kini telah “mendamaikan kita dengan diri-Nya melalui Kristus,” “tidak lagi memperhitungkan” kesalahan-kesalahan kita (ayat 18-19). Kita adalah anak-anak yang dikasihi Tuhan (1 Yohanes 3:1-2), yang telah disucikan dan diperbaharui, yang menyerupai Yesus, Anak-Nya.

Yesus membebaskan kita daripada dosa dan kuasa dosa yang menguasai kita, serta memulihkan kita untuk membina hubungan yang baharu dengan Tuhan, bahawa kita tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi “untuk Dia yang telah mati [bagi kita] dan telah dibangkitkan” (2 Korintus 5:15). Pada Tahun Baru ini, marilah kita mengingati bahawa kasih-Nya yang membawa perubahan akan mendorong kita hidup dengan identiti dan azam baru. Kasih ini membantu kita membawa orang lain kepada Juruselamat kita, yang juga akan membuat mereka menjadi orang baharu!