Novel penuh pertama Ernest Hemingway menceritakan tentang sahabat-sahabat yang merupakan kaki botol. Mereka baru menempuhi Perang Dunia Pertama, dan pengalaman ngeri yang amat menyakitkan ini akibat perang yang membinasakan telah meninggalkan parut yang menyeksa dalam hati mereka. Mereka cuba mengatasinya dengan berpesta, melakukan pengembaraan dan mengadakan hubungan seks rambang. Mereka sentiasa mengambil minuman alkohol untuk mengebaskan kesakitan tersebut. Namun semua ini tidak berhasil, tiada seorang pun berasa gembira.
Buku Hemingway yang bertajuk The Sun Also Rises dipetik terus daripada Pengkhutbah 1:5. Dalam kitab Pengkhutbah, Raja Salomo merujuk dirinya sebagai “pengkhutbah” (ayat 1). Dia mengamati, “segala-galanya hanya sia-sia” (ayat 2) dan bertanya, “Apa keuntungan yang diperoleh manusia atas segala jerih payahnya?” (ayat 3). Salomo melihat bagaimana matahari terbit dan terbenam, angin bertiup bolak-balik, sungai mengalir tanpa henti ke laut yang tidak pernah penuh (ayat 5-7). Akhirnya, semua dilupakan (ayat 11).
Hemingway dan kitab Pengkhutbah bersama-sama menghadapkan kita dengan kesia-siaan dalam kehidupan ini. Bagaimanapun, Salomo menerapkan petunjuk Tuhan yang jelas didalam kitabnya, menunjukkan memang wujudnya kekekalan dan harapan yang sebenar. Pengkhutbah menampilkan sifat kita yang sebenar, tetapi juga menunjukkan Tuhan yang seadanya. “Segala-gala yang dilakukan Allah tetap ada buat selama-lamanya,” kata Salomo (3:14), dan inilah harapan besar kita. Kerana Tuhan telah memberikan Anak-Nya, iaitu Yesus kepada kita sebagai satu hadiah yang besar.
Tanpa Tuhan, kita terapung di lautan yang tiada penghujung dan tidak pernah penuh. Melalui Anak-Nya yang telah bangkit, iaitu Yesus, kita telah diperdamaikan dengan-Nya, dan kita menemui azam, nilai dan matlamat hidup.