Ahli oseanografi (saintis yang mengkaji aspek fizikal dan biologi laut), Sylvia Earle telah menyaksikan secara langsung tentang pencemaran terumbu karang. Maka dia menubuhkan Mission Blue, sebuah organisasi yang menumpukan perkembangan “titik harapan” (hope spots) secara global. Tempat-tempat yang istimewa di serata dunia ini adalah tempat yang “kritikal bagi kesihatan lautan,” serta memberi impak kepada kehidupan kita di bumi. Melalui penjagaan yang tertumpu kepada tempat-tempat ini, ahli-ahli saintis telah melihat perhubungan hidupan bawah air dipulihkan dan hidupan spesies terancam telah dipelihara.

Dalam Mazmur 33, pemazmur mengakui bahawa Tuhan berfirman dan segala-galanya menjadi wujud, dan memastikan segala yang dicipta-Nya akan teguh (ayat 6-9). Tuhan memberi perintah ke atas setiap generasi dan bangsa-bangsa (ayat 11-19), hanya Dia yang dapat memulihkan setiap hubungan, menyelamatkan setiap nyawa, dan menghidupkan harapan. Namun, Tuhan menjemput kita menyertai-Nya untuk mengasihi dunia dan manusia yang dicipta-Nya.

Setiap kali kita memuji Tuhan untuk pelangi yang merentasi awan, langit kelabu atau ombak lautan yang menghempas di pesisiran pantai yang berbatu, kita boleh menyatakan “kasih setia-[Nya]” dan kehadiran-Nya sepertimana kita “berharap” kepada-Nya (ayat 22).

Apabila kekecewaan atau ketakutan mempengaruhi kita dalam mempertimbangkan keadaan semasa di dunia, kita mungkin mula percaya bahawa kita tidak dapat membuat sebarang perubahan. Namun, apabila kita melakukan kerja kita sebagai ahli pasukan penjagaan Tuhan, kita dapat memuliakan-Nya sebagai Pencipta dan menolong orang lain mencari harapan semasa mereka meletakkan kepercayaan mereka kepada Yesus.