Pada mulanya, saya tidak perasan akan dia.

Saya pergi bersarapan di hotel saya. Semua yang ada di ruang makan nampak bersih. Meja bufet telah dipenuhi. Peti sejuk telah diisi, bekas perkakas telah dibungkus ketat. Semuanya sempurna.

Kemudian saya nampak dia. Seorang lelaki yang bersahaja mengisi ini, mengelap itu. Pekerjaannya tidak menarik perhatian orang. Tetapi semakin lama saya duduk melihat, semakin saya kagum. Lelaki tersebut bekerja dengan cepat, peka terhadap suasana di sekelilingnya, dan mengisi semua makanan sebelum sesiapa mungkin memerlukan sesuatu. Saya juga pernah bekerja dalam perkhidmatan makanan, saya boleh perasan akan perhatiannya yang berterusan pada setiap butiran. Semuanya nampak sempurna kerana lelaki ini sedang bekerja dengan begitu setia—walaupun jika hanya sedikit orang yang menyedarinya.

Ketika melihat lelaki yang bekerja dengan sangat teliti ini, saya teringat akan kata-kata Paulus kepada orang-orang Tesalonika: “Berusahalah untuk hidup tenang, usah campuri hal orang dan carilah nafkah sendiri … Dengan demikian kamu akan dihormati oleh mereka yang bukan pengikut Kristus” (1 Tesalonika 4:11-12). Paulus faham bahawa seorang pekerja yang setia mungkin akan memenangi penghormatan orang lain, ini juga memberikan kesaksian yang diam, bahawa Injil boleh diberitakan walau melalui perbuatan yang kelihatan tidak ketara kepada orang lain dengan maruah dan matlamat.

Saya tidak tahu jika lelaki tersebut adalah seorang yang percaya kepada Yesus. Namun saya bersyukur akan kesungguhannya dalam diam, yang mengingatkan saya agar bergantung pada Tuhan untuk hidup dalam ketenangan yang mencerminkan kesetiaan-Nya.