Ketika saya belajar di seminari beberapa tahun yang lepas, kami mempunyai ibadah mingguan di gereja kecil. Pada satu ibadah, apabila kami pelajar-pelajar sedang menyanyikan “Great Is the Lord,” saya ternampak tiga orang profesor yang dikasihi ramai sedang menyanyi dengan penuh perasaan. Wajah mereka terpancar kegembiraan, ini berlaku kerana iman mereka kepada Tuhan. Bertahun-tahun kemudian, apabila mereka masing-masing mengharungi penyakit tenat, iman inilah yang membolehkan mereka terus bertahan dan menggalakkan orang lain.

Hari ini, kenangan akan pensyarah-pensyarah saya yang menyanyi sentiasa menggalakkan saya untuk terus tabah dalam mengharungi dugaan. Bagi saya, ada beberapa daripada banyak kisah inspirasi orang yang hidup dalam iman. Mereka adalah satu peringatan bagaimana kita boleh mengikut panggilan penulis dalam Ibrani 12:2-3 untuk mengarahkan mata kita kepada Yesus kerana “kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya … telah menanggung seksa salib” (ayat 2).

Apabila pencubaan—daripada penganiayaan atau cabaran hidup—menyebabkan kita tidak mampu untuk bertahan, kita mempunyai teladan mereka yang memegang erat kata-kata Tuhan dan percaya kepada janji-janji-Nya. Kita boleh “berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita” (ayat 1), mengingati bahawa Yesus—dan mereka yang telah mendahului kita—mampu bertahan. Penulis menyeru kita untuk “fikirkanlah Dia … supaya [kita] tidak berasa bosan dan tawar hati” (ayat 3).

Guru-guru saya, yang kini gembira di syurga, mungkin akan berkata: “Kehidupan dalam iman adalah berbaloi. Teruskan.”