Thomas Chalmers, seorang pastor yang berbangsa Scottish pada abad ke-19 pernah menceritakan tentang kisah menunggang kereta kuda di kawasan Highlands yang mempunyai tebing gunung yang sempit, di sepanjang jurang yang mengerikan. Salah seekor kuda itu terkinjat, dan penunggangnya menjadi sangat takut akan mati terjatuh, maka dia berulang kali melibas cemetinya. Selepas berjaya melepasi saat bahaya tersebut, Chalmers bertanyakan penunggang itu kenapa dia menggunakan cemeti dengan begitu kuat. “Saya perlu memberi kuda-kuda tersebut sesuatu untuk difikirkan,” jawabnya. “Saya perlu menangkap perhatian kuda-kuda itu.”

Di dunia yang penuh dengan ancaman dan bahaya di sekeliling kita, kita memerlukan sesuatu untuk menangkap perhatian kita. Walau bagaimanapun, kita perlu lebih daripada sekadar sesuatu yang dapat mengalihkan perhatian dari segi mental—helah psikologi. Apa yang paling kita perlukan adalah menumpukan minda kita kepada realiti yang lebih kuat daripada semua ketakutan kita. Sepertimana Yesaya memberitahu umat Tuhan di Yehuda, apa yang kita benar-benar perlukan ialah menumpukan minda kita kepada Tuhan. “Engkau, TUHAN, memberikan kedamaian dan kesejahteraan,” janji Yesaya, “kerana mereka percaya kepada-Mu” (Yesaya 26:3 TMV). Dan kita boleh “percayalah kepada TUHAN untuk selama-lamanya, kerana TUHAN ALLAH sajalah, batu pejal yang kekal” (ayat 4 AVB).

Kedamaian—ini adalah satu pemberian untuk semua orang yang menumpukan perhatian mereka kepada Tuhan. Kedamaian-Nya juga menyediakan lebih daripada sekadar satu teknik bagi mengalihkan pemikiran kita yang paling buruk. Bagi sesiapa yang menyerahkan masa depan, harapan dan kebimbangan mereka kepada Tuhan, Roh Kudus akan memperbaharui gaya hidup mereka sepenuhnya.