Pelakon Nichelle Nichols lebih diingati dalam watak yang dimainkannya sebagai Leftenan Uhura dalam siri Star Trek yang asal. Mendapat watak tersebut merupakan kejayaan peribadinya bagi Nichols, kerana dia menjadi salah seorang pelakon wanita Afrika Amerika yang pertama dalam sebuah rancangan TV yang utama. Namun kejayaan yang lebih besar akan menyusul dari situ.
Nichols sebenarnya telah meletak jawatan dari Star Trek selepas musim pertamanya, untuk kembali ke kerja teaternya. Tetapi kemudian dia bertemu dengan Martin Luther King Jr., yang menyarankan dia supaya tidak berhenti. Untuk kali pertamanya, dia berkata, orang Afrika Amerika telah dilihat di TV sebagai orang bijak yang dapat berbuat apa sahaja, malah ke angkasa lepas. Dengan memainkan watak sebagai Leftenan Uhura, Nichols telah mencapai kejayaan yang lebih besar—menunjukkan apa yang dapat dilakukan oleh wanita dan kanak-kanak berkulit hitam.
Hal itu mengingatkan saya semasa Yakobus dan Yohanes meminta Yesus agar mengurniakan dua jawatan terbaik dalam kerajaan-Nya kepada mereka (Markus 10:37). Bayangkan betapa baiknya kejayaan peribadi itu apabila tercapai! Yesus bukan sahaja menerangkan realiti yang menyakitkan bagi permintaan mereka (ayat 38-40) tetapi memanggil mereka untuk matlamat yang lebih tinggi, dengan berkata, “Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu” (ayat 43). Pengikut-Nya bukan mencari kejayaan peribadi semata-mata tetapi, seperti Yesus, mereka menggunakan kedudukan mereka untuk melayani orang lain (ayat 45).
Nichelle Nichols terus menyertai Star Trek untuk mendapatkan kejayaan yang lebih besar yang disediakan untuk orang Afrika Amerika. Semoga kita juga tidak berpuas hati dengan kejayaan peribadi semata-mata tetapi menggunakan apa sahaja jawatan yang kita peroleh untuk melayani orang lain dalam nama Yesus.