Bagi mengelakkan kesilapan kewangan pada masa hadapan, seperti keruntuhan ekonomi yang berlaku pada tahun 1929 dan 2008, Perpustakaan Kesilapan (“Library of Mistake”) telah diasaskan di Edinburgh, Scotland. Perpustakaan tersebut menampilkan koleksi lebih daripada dua ribu buku yang boleh membantu mendidik ahli-ahli ekonomi generasi yang akan datang. Selain itu, ia menjadi contoh sempurna kepada pepatah yang dinyatakan oleh para kurator perpustakaan tersebut, “orang pintar akan terus melakukan perkara bodoh.” Para kurator percaya bahawa satu-satunya cara untuk membina ekonomi yang kukuh adalah belajar daripada kesilapan masa lalu.

Paulus mengingatkan orang-orang di Korintus bahawa satu-satunya cara untuk mengelak daripada menyerah kepada godaan dan mempunyai kehidupan rohani yang kuat adalah dengan belajar daripada kesilapan umat Tuhan pada masa lalu. Bagi memastikan mereka tidak terlalu yakin dengan keistimewaan kerohanian mereka, jadi rasul Paulus telah menggunakan kegagalan tamadun Israel kuno sebagai contoh agar orang Israel boleh memperoleh hikmat daripada kejadian itu. Orang-orang Israel telah melibatkan diri dalam pemujaan berhala, memilih untuk “berkelakuan cabul,” merungut tentang rancangan dan tujuan Tuhan, dan memberontak terhadap para pemimpin yang telah ditetapkan Tuhan. Oleh sebab dosa mereka, mereka telah mengalami disiplin daripada Tuhan (1 Korintus 10:7-10). Paulus membentangkan “iktibar” (atau contoh) sejarah sebegini daripada Alkitab untuk membantu mereka yang percaya kepada Yesus supaya mengelak daripada mengulangi kesilapan orang Israel (ayat 11).

Dengan pertolongan Tuhan, marilah kita belajar daripada kesilapan kita dan kesilapan orang lain, supaya kita dapat memperoleh hati yang taat kepada-Nya.