“Secara purata orang akan membuat sebanyak 773,618 keputusan dalam sepanjang hayat mereka,” dakwa Daily Mirror. Surat akhbar dari England ini juga menegaskan bahawa kita “akan menyesali 143,262 keputusan yang telah kita lakukan.” Saya tidak pasti bagaimana kajian tersebut berjaya memperoleh perangkaan sebegini, tetapi jelasnya kita harus menghadapi banyak keputusan sepanjang hayat kita. Jumlah keputusan yang perlu kita hadapi mungkin akan menjadi beban kepada kita, terutamanya apabila kita menganggap bahawa segala pilihan yang kita lakukan akan ada akibatnya, ada pula sesetengah keputusan itu mempunyai kepentingan yang jauh lebih tinggi daripada yang lain.

Selepas mengembara di padang gurun selama empat puluh tahun, orang Israel berdiri di ambang tanah kelahiran mereka yang baharu. Kemudian, setelah memasuki tanah tersebut, Yosua, iaitu pemimpin mereka, mengemukakan pilihan yang mencabar kepada mereka: “Takutlah kepada TUHAN dan beribadatlah kepada-Nya dalam ketulusan dan kesetiaan,” kata Yosua. “Singkirkanlah segala tuhan berhala yang disembah nenek moyangmu” (Yosua 24:14). Yosua memberitahu mereka, “Jika menurutmu tidak baik beribadat kepada TUHAN, pilihlah hari ini kepada siapa kamu akan beribadat … Tetapi kami, iaitu aku dan keluargaku, akan beribadat kepada TUHAN!” (ayat 15).

Semasa kita memulakan setiap hari yang baharu, kita berkemungkinan akan menghadapi pelbagai keputusan yang perlu kita lakukan. Mengambil masa untuk meminta Tuhan membimbing kita akan mempengaruhi segala pilihan yang kita akan buat. Dengan pertolongan kuasa Roh Kudus, kita dapat memilih untuk mengikut-Nya setiap hari.