Pada ulang tahun perkahwinan Charley dan Jan yang ke-50, mereka menjamu sarapan pagi di sebuah restoran dengan anak lelaki mereka, Jon. Pada hari itu, restoran tersebut kekurangan kakitangan. Hanya ada seorang pengurus, tukang masak, dan seorang remaja perempuan yang bekerja sebagai pelayan serta pengangkut barang. Semasa mereka sedang menghabiskan sarapan pagi mereka, Charley menoleh ke arah isteri dan anak lelakinya sambil berkata, “Adakah perkara penting yang perlu kamu lakukan dalam beberapa jam yang akan datang?” ”Tidak ada,” jawab mereka.

Oleh itu, dengan izin pengurus restoran tersebut, Charley dan Jan pun mula membasuh pinggan di belakang restoran manakala Jon mula membersihkan meja-meja yang bersepah. Menurut Jon, apa yang berlaku pada hari itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ibu bapanya sentiasa menunjukkan teladan Yesus yang mempamerkan sikap Anak Manusia yang “datang bukan untuk dilayan tetapi untuk melayan” (Markus 10:45).

Dalam Yohanes 13, kita membaca tentang jamuan terakhir Kristus bersama murid-murid-Nya. Pada malam jamuan tersebut, Yesus mengajar mereka tentang prinsip pelayanan yang rendah hati dengan membasuh kaki mereka yang kotor (ayat 14-15). Jika Dia rela melakukan kerja yang rendah, iaitu membasuh kaki 12 orang lelaki, mereka juga seharusnya melayani orang lain dengan sukacita.

Segala pelayanan yang kita libat mungkin kelihatan berbeza, tetapi semuanya ada satu persamaan: kita akan memperoleh sukacita yang besar dalam pelayanan. Tujuan di sebalik tindakan pelayanan bukanlah untuk menerima pujian, tetapi untuk melayani orang lain dengan penuh kasih sambil mengarahkan segala pujian kepada Tuhan kita yang rendah hati dan rela berkorban.