Dalam bukunya yang bertajuk Adopted for Life, Dr Russell Moore menghuraikan perjalanan keluarganya ke rumah anak yatim untuk mengambil seorang anak angkat. Ketika mereka memasuki taska, suasana senyap di dalam taska tersebut amat mengejutkan. Bayi-bayi di dalam buaian tidak pernah sekalipun menangis. Ini bukan kerana mereka tidak memerlukan apa-apa, tetapi kerana mereka mengetahui bahawa tiada sesiapa pun cukup peduli untuk menjawab seruan mereka.
Hati saya pilu apabila membaca kata-kata tersebut. Saya teringat ketika anak-anak kami masih kecil. Sering juga pada waktu malam, ketika saya dan isteri sedang nyenyak tidur, kami selalu dikejutkan oleh tangisan mereka: “Ayah, saya sakit!” atau “Ibu, saya takut!” Salah seorang kami akan bangun dengan segera dan pergi ke bilik tidur mereka untuk menenangkan dan menjaga mereka dengan sebaik yang kami mampu. Kasih sayang kami kepada anak-anak kami memberi mereka alasan untuk meminta bantuan kami.
Sebahagian besar kitab Mazmur adalah tentang tangisan atau ratapan kepada Tuhan. Orang Israel membawa ratapan mereka kepada Tuhan kerana Tuhan memiliki hubungan peribadi dengan mereka. Mereka merupakan umat yang telah dipanggil oleh Tuhan sebagai “anak-Ku yang sulung” (Keluaran 4:22) dan mereka meminta Bapa mereka bertindak sewajarnya. Kepercayaan yang jujur seperti itu terlihat dalam Mazmur 25: “Berpalinglah kepadaku, dan kasihanilah aku, … bawalah aku keluar daripada segala derita ini (ayat 16-17). Apabila kanak-kanak tahu ada orang mengasihi mereka, mereka memang akan menangis. Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita iaitu anak-anak Tuhan, dan Dia memberi kita alasan untuk berseru kepada-Nya. Dia mendengar seruan kita dan menjaga kita kerana Dia sangat mengasihi kita.