Semasa berada di dapur, anak perempuan saya berkata kepada saya, “Ibu, ada lalat dalam madu!” Saya menyindir kembali dengan pepatah dari negara Barat, “Kamu akan sentiasa menangkap lebih banyak lalat dalam madu daripada cuka.” Walaupun ini merupakan kali pertama saya (secara tidak sengaja) menangkap lalat dengan madu, saya mendapati ada kebijaksanaannya dalam peribahasa moden tersebut: permintaan yang dibuat dengan sikap yang baik lebih cenderung untuk meyakinkan orang lain daripada sikap yang buruk.
Kitab Amsal memberi kita koleksi peribahasa dan kata-kata arif yang diilhamkan oleh Roh Tuhan. Kata-kata yang diilhamkan ini membimbing dan mengajar kita tentang kebenaran-kebenaran yang penting perihal cara hidup yang memuliakan Tuhan. Kebanyakan peribahasa dalam Kitab Amsal adalah berkaitan dengan hubungan sesama manusia, termasuklah kesan mendalam daripada kata-kata kita terhadap orang lain.
Dalam bahagian peribahasa yang dikaitkan dengan Raja Salomo, dia memberi amaran tentang akibat percakapan dusta tentang seorang jiran (Amsal 25:18). Dia menasihati bahawa “lidah fitnah “ akan mengakibatkan hubungan yang suram (ayat 23). Salomo memberi amaran tentang kesan yang menyeramkan akibat daripada sentiasa mengeluh (ayat 24). Selain itu, raja ini juga menggalakkan pembaca bahawa berkat datang apabila kata-kata kita membawa berita baik (ayat 25).
Semasa kita berusaha untuk menerapkan segala kebenaran ini, kita mempunyai Roh Tuhan yang memberi kita “jawapan lidah berasal daripada TUHAN” (16:1). Apabila kita diberikan kuasa oleh Tuhan, kata-kata kita akan menjadi manis dan menyegarkan.