Kesombongan selalunya membawa keadaan yang memalukan, inilah pengalaman seorang lelaki di Norway. Tanpa memakai pakaian yang sesuai untuk larian, individu tersebut dengan sombongnya telah mencabar untuk berlumba dengan Karsten Warholm, seorang pemegang rekod dunia 400 meter dalam acara lompat pagar. Masa itu Warholm sedang berltaih di dalam sebuah stadium tertutup. Dia menyambut cabaran itu tetapi anda boleh membayangkan keputusan akhir—lelaki itu jauh di belakangnya. Di garisan penamat, juara dunia dua kali itu tersenyum apabila pencabarnya itu berkeras mengatakan bahawa dia melakukan permulaan yang buruk dan mahu berlumba semula!
Dalam Amsal 29:23 kita membaca, “Keangkuhan seseorang akan merendahkannya, tetapi orang yang rendah diri akan memperoleh kehormatan.” Cara Tuhan berurusan dengan kesombongan merupakan salah satu tema kegemaran Salomo di dalam kitab itu (11:2; 16:18; 18:12). Perkataan keangkuhan atau kesombongan dalam ayat ini bermaksud “bengkak” atau “bongkak”—menerima pujian/penghargaan bagi apa yang sepatutnya menjadi milik Tuhan. Apabila kita dipenuhi dengan kesombongan, kita berfikir diri kita lebih tinggi daripada sepatutnya. Yesus pernah berkata, “Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, dan orang yang merendahkan diri akan ditinggikan” (Matius 23:12). Yesus dan Salomo mengarah kita untuk mengejar kerendahan hati. Ini bukanlah kerendahan hati yang palsu, tetapi membetulkan diri sendiri dan mengakui bahawa semua yang kita terima datang daripada Tuhan. Orang yang bijak adalah mereka yang tidak mengatakan sesuatu dengan angkuh dan tidak bercakap dengan “terburu-buru” (Amsal 29:20).
Marilah kita meminta Tuhan untuk memberi kita hati dan hikmat untuk merendahkan diri supaya dapat memuliakan Dia dan menghindari daripada dipermalukan.