Ketika Wallace dan Mary Brown berpindah ke sebuah kawasan kejiranan yang miskin di Birmingham, England, untuk menggembala sebuah gereja yang hampir ditutup, mereka tidak tahu bahawa sekumpulan geng telah menjadikan kawasan gereja dan rumah mereka sebagai ibu pejabat mereka. Sekeluarga Brown pernah dibaling dengan bata melalui jendela rumah mereka, pagar rumah mereka dibakar, dan anak-anak mereka diancam. Gangguan itu berterusan sehingga berbulan-bulan lamanya; polis juga tidak mampu menghentikannya.

Kitab Nehemia menceritakan bagaimana orang Israel membina semula tembok Yerusalem yang telah roboh. Apabila penduduk setempat bertindak untuk “mengadakan huru-hara”, mengancam untuk melakukan keganasan terhadap orang Israel (Nehemia 4:8), orang Israel “berdoa kepada Allah … menjalankan pengawalan siang dan malam” (ayat 9). Pasangan Brown merasakan bahawa Tuhan menggunakan petikan ini untuk membimbing merekaserta anak-anak mereka. Maka mereka dan beberapa orang lain berjalan mengelilingi dinding gereja mereka, berdoa supaya Tuhan akan mengutus malaikat untuk melindungi mereka. Kumpulan geng itu mengejek mereka, tetapi pada keesokan harinya, hanya separuh daripada mereka muncul. Selepas hari itu, hanya lima orang yang muncul, dan sehari berikutnya, tiada seorang pun yang muncul. Pasangan Brown kemudian mendengar bahawa kumpulan geng tersebut telah berhenti melakukan keganasan.

Jawapan yang ajaib untuk doa ini bukanlah formula bagi perlindungan kita sendiri, tetapi ini merupakan peringatan bahawa tentangan terhadap pekerjaan Tuhan akan datang dan harus dilawan dengan doa sebagai ‘senjata’ kita. “Ingatlah kepada Tuhan yang besar dan teramat hebat,” Nehemia memberitahu orang Israel (ayat 14). Dia juga mampu menjinakkan hati yang ganas.