Judson Van DeVenter dilahirkan di sebuah ladang. Sejak kecil dia telah belajar melukis dan seni, kemudian menjadi seorang guru seni. Namun, Tuhan mempunyai rancangan yang lain untuknya. Rakan-rakan menghargai kerja-kerjanya di gereja lalu mendorong dia melayani dalam ladang penginjilan. Judson juga merasa panggilan Tuhan terhadapnya, tetapi sukar baginya untuk melepaskan cintanya terhadap pengajaran seni. Dia bergelut dengan Tuhan, tetapi “akhirnya,” tulisnya, “saat penting dalam hidup saya datang, dan saya berserah semuanya.”

Kita tidak dapat membayangkan kesedihan hati Abraham ketika Tuhan memanggil dia menyerahkan anaknya Ishak. Ekoran perintah Tuhan untuk mempersembahkan Ishak “di sana sebagai korban bakaran” (Kejadian 22:2), kita boleh bertanya kepada diri kita sendiri apa itu perkara berharga yang Tuhan mahu kita korbankan. Kita tahu Tuhan akhirnya telah memelihara nyawa Ishak (ayat 12), namun perkara ini jelas: Abraham sanggup menyerahkan hal yang paling berharga baginya. Dia mempercayai Tuhan akan menyediakan baginya dalam panggilan yang paling sukar.

Kita berkata bahawa kita mengasihi Tuhan, tetapi adakah kita sanggup mengorbankan perkara yang paling kita sayangi? Judson Van DeVenter menuruti panggilan Tuhan dan mengabdikan hidupnya dalam penginjilan. Setelah itu dia menuliskan sebuah lagu pujian yang bertajuk “Aku Menyerahkan Semuanya.” Kemudian, Tuhan memanggil Judson kembali untuk mengajar. Salah seorang pelajarnya ialah seorang pemuda yang bernama Billy Graham, yang kemudian menjadi seorang penginjil.

Rancangan Tuhan bagi hidup kita mempunyai tujuan yang tidak dapat kita bayangkan. Dia merindukan kita rela menyerahkan apa yang paling kita hargai. Nampaknya itu sahaja yang dapat kita lakukan. Lagipun, Dia telah mengorbankan satu-satu Anak-Nya bagi kita.