Rakan Maggie yang masih muda muncul di gereja dengan pakaian yang mengejutkan. Tiada seorang pun berasa hairan, ini kerana dahulu dia adalah seorang pelacur. Perempuan muda ini berasa gelisah di tempat duduknya, tidak berheti-henti menarik skirtnya yang terlalu pendek dan melipat lengannya.

“Adakah kamu sejuk?” tanya Maggie, dengan cepat mengalihkan perhatian perempuan itu daripada cara berpakaiannya. “Nah! Ambil selendang saya ini.”

Maggie memperkenalkan Yesus kepada ramai orang dengan hanya mempelawa mereka datang ke gereja dan membantu mereka berasa selesa. Injil terserlah melalui caranya yang menarik. Dia melayani semua orang dengan penuh kehormatan.

Ketika para pemimpin agama mengheret seorang wanita di hadapan Yesus dengan dakwaan perzinaan yang keras (dan tepat), Kristus mengalihkan perhatian terhadap wanita itu sehingga Dia berjaya membuatkan para penuduh tersebut pergi. Setelah mereka semua pergi, Yesus boleh sahaja memarahi wanita itu. Sebaliknya Dia bertanya dua soalan yang ringkas: “Di manakah mereka?” dan “Tidak adakah orang yang mengutukmu? (Yohanes 8:10). Jawapan bagi soalan kedua itu sudah tentulah tidak. Maka Yesus memberitahu Injil kepada perempuan itu dalam satu pernyataan yang pendek: “Aku pun tidak menghukummu.” Kemudian Yesus memberi dia jemputan ini: “Pergilah, jangan berbuat dosa lagi” (ayat 11).

Jangan sesekali memandang rendah akan kuasa kasih sejati kepada orang lain—kasih yang tidak mengutuk, bahkan menghulurkan kehormatan dan pengampunan kepada semua orang.