Seperti kebanyakan guru, Carrie menumpukan banyak masa dalam kerjayanya. Dia sering harus memeriksa kertas jawapan dan berkomunikasi dengan pelajar dan ibu bapa sehingga lewat petang. Untuk mengekalkan usaha itu, dia bergantung pada semangat keakraban dan bantuan praktikal daripada komuniti rakan sekerjanya; tugasnya yang mencabar itu dipermudahkan melalui semangat kerjasama. Kajian terbaru tentang pendidik mendapati bahawa faedah bekerjasama akan menjadi lebih besar apabila rakan-rakan sekerja mereka menunjukkan kerendahan hati. Apabila rakan sekerja bersedia untuk mengakui kelemahan mereka, yang lain turut berasa selamat untuk berkongsi pengetahuan mereka antara satu sama lain. Hasilnya semua orang boleh mendapat bantuan dengan berkesan dalam kumpulan.
Alkitab mengajarkan kepentingan kerendahan hati bukan sahaja untuk menguatkan semangat kerjasama. Dengan “takut kepada TUHAN”, iaitu mempunyai pemahaman yang betul tentang siapa kita jika dibandingkan dengan keindahan, kuasa dan keagungan Tuhan, maka kita akan memperoleh “kekayaan, kehormatan dan kehidupan” sebagai ganjaran (Amsal 22:4). Kerendahan hati membawa kita hidup dalam komuniti dengan cara yang membuahkan hasil dalam pemerintahan Tuhan, bukan hanya di dunia, kerana kita berusaha untuk memberi manfaat kepada rakan-rakan kita yang juga merupakan pembawa imej Tuhan.
Namun kita tidak patut mengamalkan sikap yang takut kepada Tuhan sebagai cara untuk memperoleh “kekayaan, kehormatan, dan kehidupan” untuk diri kita sendiri—itu sama sekali bukanlah maksud sebenar kerendahan hati. Sebaliknya, kita meneladani Yesus, yang “mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba” (Filipi 2:7) supaya kita boleh menjadi sebahagian tubuh yang bekerjasama dengan rendah hati untuk melakukan pekerjaan-Nya, memberi kemuliaan kepada-Nya, dan menyebarkan Injil kepada dunia di sekeliling kita.