Semasa kecil, saya menganggap orang dewasa adalah bijak dan tidak pernah gagal. Saya fikir mereka sentiasa tahu apa yang perlu dilakukan. Suatu hari nanti, apabila saya sudah dewasa, saya juga sentiasa tahu apa yang perlu dilakukan. Nah, “suatu hari” datang bertahun-tahun yang lalu, dan apa yang saya belajar adalah saya masih tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dan ini sering kali berlaku. Sama ada pada waktu penyakit menimpa ahli keluarga saya, masalah di tempat kerja, atau konflik dalam hubungan, saya sedar bahawa saya sendiri tidak dapat mengawal dan berkuasa atas segalanya. Maka saya ditinggalkan kepada satu pilihan sahaja—menutup mata dan berbisik, “Ya Tuhan, tolonglah aku. Aku tidak tahu apa yang patut dilakukan.”

Rasul Paulus memahami perasaan tidak berdaya ini. “Duri” dalam hidupnya, yang mungkin merupakan penyakit fizikal, menyebabkan dia jatuh dalam kekecewaan dan kesakitan. Namun, melalui duri inilah Paulus mengalami kasih, janji, dan berkat Tuhan yang adalah cukup baginya untuk bertahan dan mengatasi kesukarannya (2 Korintus 12:9). Dia belajar bahawa kelemahan peribadi dan ketidakupayaan tidak bermakna dia telah kalah. Apabila kita menyerahkan segala kelemahan ini kepada Tuhan dalam kepercayaan, semua iniakan menjadi alat bagi Tuhan untuk bekerja dalam apa jua keadaan kita (ayat 9-10).

Kita yang sudah dewasa tidak bermakna kita tahu semua hal. Sudah tentu kita akan semakin bijaksana seiring dengan umur, tetapi sesungguhnya kelemahan kita selalunya memperlihatkan bahawa kita ini sebenarnya amat lemah. Kekuatan kita yang sebenar terletak dalam Kristus: “kerana apabila aku lemah, ketika itulah aku kuat” (ayat 10). Sesungguhnya, “menjadi dewasa” bermaksud mengetahui, mempercayai, dan mentaati kuasa Tuhan ketika kita sedar bahawa kita memerlukan pertolongan Tuhan